Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman mengulukan seruan Merdeka! pada 31 Ogos 1957.
MEMPERINGATI DETIK SEJARAH KEMERDEKAAN MALAYSIA Pilihan raya umum yang pertama ditandingkan pada tahun 1955. Parti-parti seperti PAS, Parti Negara di bawah pimpinan Dato' Onn bin Jaafar, Parti Buruh, Parti Progresif Perak, Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC dan sebagainya bertanding dalam pilihan raya umum tersebut.Parti Perikatan UMNO-MCA-MIC memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. 1 kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Dengan kemenangan dalam pilihan raya, kabinet kerajaan telah dibentuk. Tunku Abdul Rahman menjadi Ketua Menteri yang pertama.
Pada tahun 1956, suatu Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel ditubuhkan untuk menggubal perlembagaan. Suruhanjaya Perlembagaan Komanwel atau lebih dikenali sebagai Suruhanjaya Reid yang dipengerusi oleh Lord Reid dari Britian terdiri daripada pakar-pakar undang dari negara Komanwel. Laporan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Reid dipinda oleh Jawatankuasa Kerja dan diluluskan oleh Majlis Undangan Persekutuan.
|
Pengistiharan Kemerdekaan |
Apabila tarikh Kemerdekaan telah ditentukan, Tunku telah mengarah Jabatan Kerja Raya untuk membina sebuah stadium terbuka yang akan dijadikan tempat pengistiharan Kemerdekaan. Tunku memilih sendiri lokasinya, di sebuah bukit yang rendah berdekatan Jalan Birch dan stadium itu dinamakan 'Stadium Merdeka'. Stadium Merdeka 5.00 pagi, 31 Ogos 1957, hujan turun dengan lebatnya. Dato' Abdul Razak yang melawat Stadium pada pagi itu gelisah dengan takungan air di tengah-tengah padang di mana Askar Melayu akan mengadakan perbarisan kehormat. Dato' Razak adalah Timbalan Pengerusi, Jawatankuasa Persiapan Kemerdekaan dengan Tunku sendiri adalah Pengerusinya. 7.00 pagi, hujan mulai reda. Dato' Razak menalifon Tunku dan melaporkan keadaan di stadium. Beliau mencadangkan agar ketibaan Raja-raja Melayu, Duke serta isteri dan Pesuruhjaya Tinggi dilewatkan satu jam. 9.00 pagi, langit mulai cerah, rintik-rintik hujan semakin mengecil dan hilang dari pandangan. Perabut dan perhiasan mula dibawa keluar dengan kadar segera. Tunku telah bersiap sedia di rumahnya. Berbaju Melayu hitam, berkain samping, berselitkan keris bersarong gading dipinggang serta bertengkolok songket, Tunku menantikan saat untuk bertolak. Di Stadium Merdeka, Tunku berdiri gagah menerima ketibaan Duke of Gloucester yang memakai pakaian istiadat ketenteraan British berpangkat Field Marshall. 'God Save The Queen' berkumandang ketika Duke of Gloucester yang merupakan pakcik Queen Elizabeth II masuk dan mengambil tempat. Duke telah diiringi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray. Raja-raja Melayu pula duduk dipayungi oleh sembilan payung kuning, Yang DiPertuan Agong pula duduk di tengah-tengah, di kirinya Tunku dan di kanannya Duke. Duke kemudiannya menyerah 'Instrumen Kemerdekaan' yang mana merupakan suatu pengakuan British bahawa ia menyerahkan kedaulatan Pulau Pinang dan Melaka kepada negara baru ini dan seterusnya menarik balik 'perlindungan' yang diberikan kepada negeri-negeri Melayu. Tunku kemudiannya membacakan pengistiharan Kemerdekaan yang antara lainnya menyebut "Dengan nama Allah, Persekutuan Tanah Melayu untuk selamanya sebuah negara yang demokratik dan Merdeka". Acapkali suaranya tenggelam dan pekikan Merdeka! Merdeka! Merdeka! oleh rakyat sebuah negara baru yang lahir dari suatu perjuangan yang suci. Seorang anak bangsa yang menyaksikan segalanya di depan mata, menghuraikan pengalamannya, Hujan renyai-renyai menghiasi pagi. Tanpa disedari linangan air mata membasahi pipi. Stadium Merdeka dibanjiri oleh anak-anak bangsa yang datang dari setiap pelusuk negeri. Masing-masing hadir dengan harapan yang tinggi. Menjadi saksi, satu peristiwa yang penuh bererti, yang tidak akan dilupai tersemat disanubari sampai mati. Merdeka telah kita miliki 'Merdeka! Merdeka! Merdeka! |
SUKU-SUKU DI NEGERI SEMBILAN
| author: sejarah smkjfSUKU-SUKU DI NEGERI SEMBILAN.... Terdapat 12 Suku di Negeri Sembilan: Suku Biduanda (dondo) Batu Hampar (Tompar) Paya Kumbuh (Payo Kumboh) Mungkal Tiga Nenek Seri Melenggang (Somolenggang) Seri Lemak (Solomak) Batu Belang Tanah Datar Anak Acheh Anak Melaka Tiga Batu Ini dinyatakan dalam sebuah gurindam yang berbunyi: Raja beralam Penghulu berluak Lembaga berlingkungan Buapak beranak buah Anak buah duduk bersuku-suku Berapa sukunya? Dua Belas!
SEJARAH ASAL USUL NEGERI SEMBILAN
| author: sejarah smkjf
SEJARAH ASAL USUL NEGERI SEMBILAN
| author: sejarah smkjfSEJARAH RINGKAS ASAL USUL NEGERI SEMBILAN
Sebelum penjajah barat menakluki alam Melayu ini, beberapa buah kerajaan yang masyhur telah bertapak kuat dalam rantau dan daerah tertentu seperti kerajaan Sri Vijaya yang berpusat di Palembang, Majapahit, Bugis, Riau Lingga, Pasai, Acheh, Temasek, Melaka dan lain-lain. Semua negeri-negeri ini diperintah oleh raja-raja Melayu yang berdaulat dalam negerinya masing-masing.
Tetapi akibat 'telunjuk lurus kelengkeng berkait' penjajah barat baik Portugis, Belanda, Inggeris mahupun Amerika yang pada awalnya hendak berdagang akhirnya sedikit demi sedikit negeri-negeri Melayu ini telah menjadi tanah jajahan berabad-abad lamanya.
Tuduhan-tuduhan dari orang-orang barat yang mengatakan bahawa orang-orang Melayu berkebudayaan lanun seperti yang pernah kita dengar beberapa tahun yang lalu adalah semata-mata karut dan sengaja direka dengan maksud dan niat serta bertujuan jahat.
Orang-orang Melayu telah bertamadun sejak beribu tahun yang lalu. Selain daripada dapat mengatur dan mentadbir negaranya sendiri sesuai dengan keadaan waktu itu, nenek moyang kita juga telah biasa mengharungi samudera luas seperti Lautan Hindi, Laut China dan sekitar Lautan Pasifik Selatan selain dari laut alam Melayu dengan menggunakan kapal-kapal layar yang besar yang mereka bina sendiri.
Mereka bukan saja membuat perhubungan dengan negeri China, sebelah timur, malah dengan negara yang lebih bertamadun dan kuat di barat yang kita kenal dengan nama Benua Rom.
Laksamana Hang Tuah pernah diutus oleh Sultan Melaka sebagai duta pelawat dikedua-dua buah negara tersebut, selain dari menjalin hubungan dan mengikat tali persahabatan di antara kerajaan Melayu Melaka dengan negeri China dan Benua Rom, hubungan dagang juga telah turut dilakukan.
Orang-orang Bugis umpamanya walaupun dicap sebagai perompak lanun oleh orang-orang barat, tetapi apa yang sebenarnya, mereka adalah perwira-perwira angkatan laut yang gagah perkasa dan mahir dalam peperangan laut. Angkatan laut Portugis, Belanda dan juga Inggeris banyak yang tewas di tangan mereka yang telah menguasai laut alam Melayu sehinggalah ke Riau dan Semenanjung Tanah Melayu.
Sebagaimana dengan negeri-negeri lain, Negeri Sembilan juga tidak kurang dengan susunan pentadbiran yang teratur meskipun ia merupakan sebuah negeri yang baru terbentuk setelah runtuhnya kerajaan Melayu Melaka dan Johor.
Raja Melewar yang dijemput dari Minangkabau itu telah ditabalkan pada tahun 1773M oleh Datuk-datuk Penghulu Luak (waktu itu belum bergelar Undang) di Kampung Penajis, Rembau. Sebelum itu walaupun Negeri Sembilan di bawah pemerintahan Sultan Johor, tetapi Luak-luak di Negeri Sembilan ini adalah di bawah pentadbiran Penghulu masing-masing dengan dibantu oleh Lembaga dan Buapak. Sistem pentadbiran negeri dapat dikatakan satu pemerintahan yang bercorak demokrasi yang berbentuk 'tear system'. Perbilangan yang menyebutkan,
'Bulat anak buah menjadikan Buapak
Bulat Buapak menjadikan Lembaga
Bulat Lembaga menjadikan Penghulu
Bulat Penghulu menjadi Raja'
membuktikan atas kebenaran ini. Manakala sistem pentadbiran pula turun dari atas iaitu Raja, Penghulu, Lembaga dan Buapak. Buapak yang memiliki anak buah menyampaikan segala perintah. Itulah yang disebutkan dalam perbilangan adatnya:
'Berjenjang naik, bertangga turun'.
Setelah penjajah Inggeris mencampuri pemerintahan, maka berlakulah berbagai-bagai perkara yang tidak diingini -"pecah-pecah dan perintah" yang menjadi permainan penjajah itu telah digunakan dengan bijaksana oleh penjajah Inggeris. Akhirnya Sungai Ujung dan Jelebu terpaksa menerima seorang Residen British, kemudian diikuti oleh Rembau manakala Seri Menanti telah kalah berperang dengan Inggeris yang dibantu oleh Penghulu Syed A.Rahman Sungai Ujung pada tahun 1874M.
Nama Negeri Sembilan yanag kita warisi sekarang ini adalah diambil dari nama 'Sembilan Negeri' yang diketuai oleh 'Sembilan Penghulu' yang menabalkan Raja Melewar. Perkataan 'Negeri' di pangkal huruf 'Sembilan' itu adalah diambil dari istilah yang lazim dipakai dari tanah leluhur (asal) Minangkabau yang membawa pengertian satu kawasan atau daerah yang kira-kira seluas luak atau mukim atau kampung, orang-orang Minang memanggil dengan nama 'negeri'. (Huraian lanjut mengenai perkara ini ada saya jelaskan dalam buku 'Takhta Kerajaan Negeri Sembilan').
DI SEBALIK NAUNGAN
Sebelum negara mencapai kemerdekaan sebagaimana juga negeri-negeri Melayu yang lain, Negeri Sembilan adalah sebuah negeri yang dijajah sejak YamTuan Antah dialahkan dalam perang Bukit Putus dalam tahun 1874M itu. Meskipun kerajaan Inggeris mendewa-dewakan bahawa, negeri-negeri Melayu ini adalah negeri naungan di baawah panji-panji kerajaan Inggeris, Ia tidak sama tarafnya dengan Negeri-negeri Selat seperti Singapura, Pulau Pinang dan Melaka. Pegawai Inggeris yang menjadi wakil Baginda King di England itu dipanggil Gobenor, sebaliknya dalam Negeri-negeri Melayu yang sembilan lagi itu gelaran Gobenor ini dipanggil Pesuruhjaya Tinggi British (British High Commissioner) saja.
Negeri ini memiliki bendera sendiri, lagu kebangsaan sendiri seolah-olah menggambarkan sebagai sebuah negeri yang berdaulat. Baik Pesuruhjaya Tinggi Inggeris yang beribu pejabat di Singapura itu, Residen British atau pegawai-pegawai daerah yang semuanya Inggeris dalam surat menyurat dengan DYMM, Datuk-datuk Undang, Penghulu malah dengan Datuk-datuk Lembaga pun mereka membahasakan dirinya dengan perkataan 'beta' dan 'sahabat beta', ertinya mempunyai taraf yang sama.
Sebaliknya kalau kita meneliti perjanjian yang dikatakan persahabatan di antara British di satu pihak dengan Raja dan Undang di pihak lain ada disebutkan disitu, bahawa kerajaan British berhak meletakkan seorang Pegawai British, yang dipanggil 'British Resident' untuk memberikan nasihat dalam bidang pentadbiran yang mesti dipatuhi kecuali yang mengenai agama dan adat istiadat.
Bagi menjalankan pentadbiran dalam negeri, yang dikatakan bersahabat itu, kerajaan British telah membentuk sebuah majlis pentadbiran yang dipanggil 'Dewan Keadilan dan Undang. Anggotanya terdiri dari DYMM Yang DiPertuan Besar sebagai Pengerusi, Resident British, Datuk-datuk Undang yang Ampat, Tunku Besar Tampin, Tunku Besar Seri Menanti, Datuk Shahbandar dan seorang ketua kaum Cina, manakala seorang pegawai Inggeris menjadi setiausahanya.
Dewan ini berkuasa membuat undang-undang dan peraturan. Ia dapat diandaikan seperti Exco sekarang, yang berbeza Exco tidak berkuasa membuat undang-undang.
Meskipun dikatakan 'Dewan Keadilan' yang dipengerusikan oleh DYMM itu berkuasa membuat undang-undang dan menjadi pusat cucuran tadbir pemerintahan negeri tetapi nasihat Residen British hendaklah diterima dan dipatuhi. Kebijaksanaan diplomasi Inggeris yang lunak di sebalik menggunakan perkataan 'nasihat' tidak 'perintah' itu menjadikan orang-orang Melayu termasuk orang-orang besar kita khayal dibuai dalam mimpi-mimpi indah yang tidak ramai di antara kita yang menyedari 'mulut disuap pisang, buntut dicangkuk duri'.
SELEPAS PERANG
Setelah Inggeris kembali ke Semenanjung ini sesudah Jepun menyerah kalah dalam Perang Dunia Kedua pada penhujung tahun 1945,kerajaan Inggeris telah memaksakan pemerintahan Malayan Union. Dengan itu jadilah negara ini secara langsung terletak di bawah pentadbiran dan jajahan takluk Inggeris.
Isu ini telah membangkitkan kemarahan orang-orang Melayu.Dengan perpaduan yang kukuh di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar terbentuklah UMNO.Gagasan Malayan Union yang dipaksakan itu ditentang habis-habisan, akhirnya penjajah Inggeris mengalah dan Persekutuan Tanah Melayu pun dibentuk pada 1hb. Februari 1948.
Dalam masa pentadbiran Malayan Union kira-kira dua tahun lamanya itu kuasa pentadbiran negeri adalah terletak di tangan seorang pegawai Inggeris yang dipanggil 'Resident Commissioner', pegawai Inggeris yang pertama bernama A.J. Colder.Raja dan Undang yang sebelum perang sebanyak sedikit boleh bersuara dalam Dewan Keadilan dan Undang, tetapi dalam pemerintahan Malayan Union , 'Dewan' ini tidak wujud lagi.
Setelah 'Persekutuan Tanah Melayu' terbentuk pada tahun 1948 itu, maka corak pemerintahan Negeri Sembilan dan lain-lain negeri di Semenanjung turut berubah. Selain dari Pulau Pinang dan Melaka, semua sembilan buah negeri Melayu yang beraja telah melantik ketua-ketua pentadbirnya dengan nama 'Menteri Besar'. Bagaimanapun oleh kerana negeri ini masih lagi dijajah, maka kerajaan Inggeris tetap juga meletakkan seorang pegawai Inggeris yang telah ditukar namanya dari 'British Resident' sebelum perang dan 'Resident Commissioner' dalam masa Malayan Union kepada 'British Adviser' atau Penasihat British'.
Dengan terbentuknya Persekutuan Tanah Melayu ini bermulalah satu babak baru dalam pentadbiran negeri. Kalau sebelumnya Negeri Sembilan belum ada perlembagaan yang bertulis tetapi sebaik-baik sahaja Persekutuan Tanah Melayu terbentuk pentadbiran Negeri Sembilan juga turut menerima perubahan, sebuah perlembagaan yang bertulis telah dikanunkan.
Dengan berkuatkuasanya perlembagaan ini maka terbentuklah sebuah dewan undangan yang dinamakan Majlis Undangan Negeri (State Legislative Council) dengan semua ahlinya dilantik oleh DYMM Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan dengan persetujuan Undang yang Ampat.
Majlis Undangan ini dianggotai seramai 27 orang yang dipengerusikan oleh Menteri Besar.
MAJLIS UNDANGAN NEGERI
Ruang Majlis Undang Negeri yang pertama telah ditempatkan di tingkat atas di hujung Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri yang lama. Di bawah dewan tersebut terletak Mahkamah Tinggi. Persidangan pertama telah diadakan pada tahun 1948. Ahlinya terbahagi kepada dua bahagian, sebahagian dikenal dengan nama 'ahli rasmi' dan sebahagian lagi ' ahli tidak rasmi'.
Ahli rasmi terdiri dari pegawai-pegawai kerajaan yang berjawatan iaitu Menteri Besar, Penasihat British, Setiausaha Kerajaan Penasihat Undang-undang, Pegawai kewangan dan Pegawai Daerah Seremban iaitu daerah yang terkanan.
Manakala ahli tidak rasmi pula adalah ahli-ahli yang dilantik yang terdiri dari tokoh-tokoh masyarakat yang terkenal, biasanya secara tidak lansung ketua-ketua atau pemimpin-pemimpin bangsa, Melayu, Cina, India dan adakalanya ketua-ketua orang-orang Eurasian. Semua perlantikan ini terpulang kepada budibicara Yang DiPertuan dan Undang dengan nasihat dari Penasihat British. (Senarai ahli-ahli yang pertama dilantik setelah Persekutuan Tanah Melayu wujud).
Pengerusi Persidangan dengan sendirinya ialah Menteri Besar. Menteri Besar yang pertama, Datuk A.Malek b. Yusuf dari 1hb., 1948 - 10hb. Ogos, 1950.
PILIHANRAYA PERTAMA 1955
Setelah pilihanraya pertama diadakan pada tahun 1955 kedudukan keanggotaan ahli-ahli Majlis Undangan Negeri ini telah berubah. Dua belas orang dari 24 orang anggota-anggota terdiri dari ahli-ahli yang dipilih oleh rakyat dan 12 orang lagi ahli yang dilantik.
Kali pertama juga dalam sejarah Majlis Undangan Negeri, seorang pengerusi majlis yang dipanggil 'Speaker' telah dilantik dari seorang ahli yang dipilih. Orang yang pertama diangkat menjadi Speaker ialah YB.Cikgu A.Wahab bin Idus, wakil dari kawasan Tampin.
Majlis Undangan yang berbentuk demikian berjalan sehingga pilihanraya 1959. Pilihanraya kali kedua ini - negara telah mencapai kemerdekaan. Dengan berlangsungnya pilihanraya kali yang kedua ini tercatatlah satu lagi lembaran sejarah dan pentadbiran negeri yang amat bererti bagi pejuang-pejuang politik kerana hasil keringat mereka untuk mendapatkan kemerdekaan telah tercapai. Keseluruhan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri dipilih oleh rakyat selain dari membebaskan negara dari cengkaman penjajah Inggeris. Kita bersyukur ke hadrat Allah S.W.T. perjuangan merebut kemerdekaan berjalan dengan licin melalui saluran politik dan perlembagaan meskipun tidak sedikit peluh dan air mata yang bercucuran membasahi persada tanahair.
Majlis Undangan Negeri ini kemudiannya ditukar dengan nama Dewan Undangan Negeri. Seramai 24 orang ahli yang dipilih oleh rakyat termasuk Menteri Besarnya sekali. Dr.Mohd Said bin Muhammad, wakil rakyat Linggi, adalah Menteri Besar yang pertama, manakala ahli-ahli Exconya terdiri dari Idris bin Matsil, A.Samad bin Idris, Ariffin bin Ali, Lee Tee Siang, Lim Kee Siong, V. Letchumanan, Setiausaha Kerajaan, Penasihat Undang-undang dan Pegawai Kewangan Negeri turut menganggotai Exco atas nama jawatan 'Ex-officio', pegawai-pegawai ini tidak ada hak mengundi.
Pada tahun 1960, bangunan Dewan Undangan Negeri telah dipindahkan dari tempat lama ke bangunan baru. Bangunan ini adalah bangunan ini adalah bangunan Sungai Ujung Club iaitu sebuah kelab yang khusus ahlinya untuk orang-orang kulit putih saja (keahliannya dibukakan kepada orang-orang bukan kulit putih beberapa tahun selepas perang).
Persetujuan telah dicapai di antara kerajaan negeri dengan ahli-ahli kelab ini agar mereka berpindah kebangunan yang ada sekarang (dulunya Istana Hinggap). Bangunan ini telah diubahsuai selaras dengan sebuah Dewan Undangan Negeri, kerana bangunan ini agak besar dan luas, maka sebahagian darinya dijadikan bangunan Mahkamah Tinggi dan sebahagian lagi dijadikan Pejabat Pertanian Negeri. Bangunan ini telah digunakan selama 26 tahun sehingga bangunan baru yang ada sekarang ini siap untuk digunakan.
Soalan Esei Sejarah SPM
| author: sejarah smkjfBahagian B
(40 markah)
Arahan: Jawab dua soalan sahaja
(a)Nyatakan cara pengaruh agama Hindu dan Buddha memasuki Asia Tenggara pada
zaman kerajaan awal. (6 markah)
(b)Huraikan pengaruh Hindu dan Buddha dalam sistem pemerintahan kerajaan awal di
Asia Tenggara. (8 markah)
(c)Sejarah telah membentuk kepelbagaian unsur budaya di negara kita dari dahulu
hingga sekarang.
Sebagai seorang pelajar, bagaimanakah anda boleh mengekalkan kepelbagaian
unsur budaya di negara kita seiring dengan arus semasa? (6 mark
Skema Jawapan
(a)
F1 Dibawa oleh golongan Ksyatria atau golongan tentera
H1a Dibawa dan disebarkan oleh penakluk dari India
H1b Membentuk tanah jajahan takluk di Asia Tenggara
F2 Dibawa oleh pedagang atau vaisya
F3 Dibawa oleh golongan Brahmin atau pendeta
H3a Golongan Brahmin mempengaruhi raja dan seterusnya rakyat dipengaruhi raja
F4 Melalui pengambilan aspek-aspek kebudayaan India yang menarik sahaja
H4a disesuaikan dengan budaya tempatan untuk diamalkan
(b)
F1 Sistem beraja dengan penggunaan gelaran raja sebagai pemerintah
H1a Raja berada di puncak pemerintahan
H1b Raja dibantu oleh kerabat diraja, pembesar dan Brahmin
F2 Raja berkuasa mutlak
H2a Pentadbiran, hubungan luar, ketenteraan dan khazanah negara
H2b Perintah raja menjadi undang-undang yang wajib dilaksanakan
H2c Sesiapa yang ingkar perintah raja dianggap menderhaka dan tidak diampunkan
H2d Raja perlu adil
F3 Raja merupakan bayangan tuhan
H3a Lahir konsep dewa-raja
H3b Raja mempunyai kesaktian melalui mitos dan lagenda untuk memperkukuh kedudukan
F4 Untuk mengukuhkan kedaulatan raja, diwujudkan pelbagai adat istiadat
H4a Pertabalan raja yang dipimpin oleh golongan Brahmin
F5 Raja mendirikan kompleks kota
H5a Untuk melambangkan konsep alam semesta yang dikenali dengan nama orde kosmos
c)Mengamalkan budaya tersebut
F2 Menghormati orang tua
F3 Mentaati pemerintah/raja/Negara
F4 Menjauhi diri daripada gejala yang negatif
F5 Berpegang kepada agama
F6 Mematuhi undang-undang
F7 Memperkukuh perpaduan
F8 Menguasai pelbagai ilmu dan kemahiran untuk mencapai kejayaan